Sunday, March 3, 2019

LATAR BELAKANG PENULIS


Sentiasa merasakan belum mengenali dirinya sendiri.

Saban waktu sentiasa mencari makna hidup dan sentiasa berdialog dengan diri sendiri mengenai keutamaan hidup dan sentiasa demi sentiasa, pergelutan dalam jiwa itu berlaku dan ianya satu pergelutan yang sengit.

Adakala ilham malaikat itu menang, adakalanya bisikan nafsu dan syaitan itu meraja. Jatuh bangun ini menjadikan emosi sering dimangsakan dan dia belajar dari kesakitan demi kesakitan dan menjadikan jemarinya mudah menaip bait kata yang menzahirkan emosi dan rasa yang bergelut di jiwa.

Itulah tabiatnya sejak mula pandai menulis. Diari dan catatan sentiasa menjadi teman diri.
Apabila mula menulis di media sosial seperti FB, maka penulis mendapati bahawa penulisannya seringkali mempunyai pembaca yang tersendiri yang mengambil manfaat dan inspirasi.

Beliau mula dihubungi oleh beberapa pembaca yang terkesan dengan penulisannya dan pembaca turut berkongsi cerita mereka dengannya tanpa beliau pinta. Tidak disangka, ada hasil karyanya yang memberi inspirasi kepada para pembaca. Itulah ketetapan dari Yang Esa.

Maka, tahulah beliau bahawa beliau perlu terus menulis dan berkongsi hasil karyanya, bukan demi dirinya sendiri sahaja, tetapi untuk terus mengajak mereka yang berkongsi rasa dengannya agar bangkit dan mencari jalan pulang yang sebenar.

Dia adalah seorang isteri, seorang ibu beranak tiga, anak sulung daripada 9 beradik. Beliau berasal daripada keluarga yang bergelut dari segi ekonomi dan telah memegang impian sejak kecil untuk masuk universiti dan menunjuk contoh terbaik kepada adik-adik serta membeli rumah untuk dihuni ayah bonda dan keluarganya.

Memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengajian Senibina daripada UIAM dan ketika catatan ini ditulis, sedang bertugas sebagai pengurus di sebuah badan berkanun.

Beliau merupakan pendiri grup tertutup FB THAT Talk di mana beliau merupakan speaker di grup tersebut.

Daripada menulis hanya untuk meluahkan perasaannya, maka penulisannya semakin hari semakin diubah agar penulisannya diangkat di Langit demi meraih redha Tuhan.

Moga dia dan pembaca meraih redha Tuhannya!

No comments:

Post a Comment

BAB 5 : Artikel 10

...