Friday, March 8, 2019

Bab 4 : Lelaki Kiriman Tuhan

Di dalam kenderaan menuju ke Wangsa Maju, mulut wanita saya yang semulajadi peramah dan mesra itu, tidak henti-henti berbual dengan bapa saudara tanpa memberi ruang rakan di sebelahnya menyampuk.
Ini perbualan anak saudara dan bapa saudara.
Orang asing, sila jarakkan diri. 
Itu mesej yang cuba saya sampaikan kepada lelaki berkaca mata di sebelahnya.
Lelaki itu diam sahaja sambil mungkin mendengar perbualan kami dengan penuh minat, atau mungkin terpaksa tahan telinga.
Sekali sekala saya kerling ke cermin belakang kereta untuk melihat wajah lelaki yang mahu berkenalan dengan anak saudara Busu saya itu.
Kelihatan dia tersenyum sahaja.
Terserlah pula tahi lalat di pipi kanannya yang bulat itu.
Tanpa ditanya-tanya, bapa saudara memperkenalkan dengan panjang lebar bahawa lelaki tersebut adalah sahabat lama beliau sejak tingkatan enam di salah sebuah sekolah agama di utara tanahair.
Kemudian, mereka sama-sama menyambung pengajian di Kaherah, sebilik bersama, dan lelaki itu kemudiannya berhijrah ke Jordan, belajar di universiti sana.
Tiba-tiba saya teringat surat-surat aerogram yang saya kirim kepada Busu ketika awal-awal tahun beliau di sana iaitu pada awal 1990an.
Ketika itu saya masih di sekolah menengah, baru berkenalan dengan subjek Bahasa Arab.
Dan saya tidak melepas peluang berkongsi keterujaan saya belajar bahasa itu dengan bapa saudara yang sedang menetap di negara Timur Tengah.
Saya selit-selit tulis ayat-ayat arab yang pendek-pendek di perenggan pertama dan perenggan akhir surat saya itu bagi memasukkan wow factor.
Bapa saudara membalas surat-surat tersebut beserta gambar-gambarnya dan kawan-kawan di Kaherah.
Di dalam salah satu suratnya, dia menulis bahawa, dek kerana terlalu terharu dengan attempt saya menulis surat kepadanya seayat dua di dalam bahasa Arab, dia menunjukkan aerogram kiriman anak saudara perempuannya ini kepada rakan sebiliknya.
Ya! Itulah orang yang di duduk bersebelahannya di dalam kereta sekarang, kata bapa saudara.
Gulp! Ada rama-rama dalam perut saya.
..............
Di Alpha Angle, kami menuju terus ke food court pasaraya itu yang sesak dengan pengunjung.
Rakan bapa saudara bertanyakan apa yang saya mahu makan.
Saya percaya bahawa itu adalah usaha awal untuk bercakap-cakap dengan saya yang tidak pemalu itu.
Saya tiada masalah apabila ditanyakan tentang makanan yang saya mahu makan kerana saya memang sedang lapar.
Saya memesan nasi lemak.
Lagipun saya belum makan pagi walaupun sudah tengahari.
Dan saya menghabiskan nasi lemak itu dengan berselera sekali di hadapan dua lelaki yang sebaya itu.
“Selamat berkenalan,” ujar saya di dalam hati.
Sambil makan, saya sempat memberitahu bapa saudara bahawa saya telah hadir ke temuduga kerja di satu badan berkanun di KL beberapa hari sebelum itu.
Selepas habis makan, bapa saudara saya tiba-tiba bangun dari meja.
“Busu mahu beli cokelat untuk anak Busu di pasaraya sebelah ini sekejap. Tunggu kejap ya,” ujar beliau spontan.
“Alamak, cokelat. Sedapnya!” bisik saya dalam hati.
Terbayang bar cokelat yang berbalut bungkusan aluminium di hadapan mata.
“Busu, nak ikut. Kak Eja pun nak cokelat,” jawab saya teruja, masih perasan diri darjah lima walau sudah melepasi usia dua puluh lima.
“Eh.. tak payah ikut. Busu nak cepat. Kak Eja duduk dulu sini. Kejap lagi Busu datang sini balik,” balas bapa saudara saya sungguh-sungguh seperti bercakap dengan anak sendiri yang masih kecil.
Dan saya tiba-tiba terperasan satu perkara, bapa saudara saya lebih licik dari saya.
Saya ditinggalkan di situ di kelilingi puluhan manusia yang sedang makan di food court itu.
Di hadapan saya, lelaki yang seasrama dengan bapa saudara saya berbelas tahun dahulu duduk memeluk badannya sambil sekali sekala menutup mulutnya dengan jemarinya.
Saya menjadi subjek strategi bapa saudara saya.
Bapa saudara mula menghilang ke dalam pasar raya.
Saya pura-pura tidak kaget.
‘Profesor psikologi’ di kepala saya mula membaca bahasa badan lelaki ini.
Lelaki ini seorang perahsia dan menyembunyikan banyak perkara
Lelaki itu meneruskan perbualan.
Suaranya perlahan.
Beberapa kali saya meminta dia mengulangi bicaranya.
Sungguh formal bahasanya.
Dia menyusun ayat-ayat dengan berhati-hati apabila bercakap.
Adakalanya percakapannya yang satu-satu itu menjentik tahap sabar saya dalam menunggu dia menghabiskan sepatah demi sepatah butir bicaranya.
Akhirnya, kira-kira dua puluh minit kemudian, bapa saudara saya pulang daripada misi mencari cokelat untuk anaknya.
Memang sungguh pun, di tangannya ada sebungkus plastik yang mungkin berisi cokelat yang dibeli.
“Ke mana lagi kita selepas ini, ya Ustaz Fuad?” soal bapa saudara kepada lelaki itu.
“Apa kata kita ke PWTC? Ada pesta buku di sana sekarang,” ujar lelaki itu.
Saya yang bukan majoriti terpaksa mengikut saja mereka berdua itu.
Panjang akal lelaki-lelaki ini.
..................
Kancil 665 itu menderum lagi, kini ke kota KL.
Di dalam perjalanan, kami melalui bangunan hotel Grand Seasons.
Sempat mulut ramah tamah saya memberitahu bapa saudara, di situlah saya ditemuduga kelmarin walaupun tidak ditanya.
Dan akhirnya kami tiba ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 di PWTC.
Di pesta buku, kami berpecah tiga menuju ke gerai-gerai jualan buku pilihan masing-masing.
Sekali sekala saya memaling ke belakang mencari kelibat bapa saudara dan.... rakan baiknya itu.
Haip!
Setelah hampir satu jam berjalan di celah-celah buku, saya bergegas menuju tempat asal kami berpecah.
Rakan bapa saudara saya sudah tercegat di situ.
Di tangannya ada beberapa buku.
“Beli buku apa?” tanya saya bersahaja.
Sambil tersenyum, dihulurkan sebuah buku di tangannya kepada saya.
Tertera tajuk Think and Grow Rich. Buku tulisan Napoleon Hill.
Wah! Lelaki ini berotak bisnes, fikir saya yang masih belum pernah membaca buku genre sebegitu.
“Ustaz minat bisnes ya?” tanya saya lagi, tidak berlakon ingin tahu.
Dia menjawab dengan ketawa kecil, tanpa berkata apa-apa.
Haisyh! Kelakarkah soalan saya?
Saya menyelak helaian buku itu, buat-buat mahu tahu isi kandungan buku yang tajuknya yang bagi saya menjemukan saat itu.
Selepas beberapa saat, saya menghulurkan kembali buku tersebut kepadanya.
Tetapi dia menolaknya.
“Buku ini untuk awak,” ujarnya ketika buku itu disuakan kepadanya.
Saya tergamam.
Buku itu rupanya dibeli untuk saya.
Saya pasrah.
Rezeki jangan ditolak.
.......
Malam itu, saya dihantar mereka berdua pulang ke rumah sewaan saya.
Bapa saudara mencadangkan agar saya dan lelaki itu bertukar-tukar nombor telefon.
Walhal, dia sendiri pun boleh memberikan nombor saya kepada rakannya atau sebaliknya.
Saya patuh saja.
......
Dan resume saya yang disalahguna bakal diganti rugi dengan sebuah mahar cinta.

Bab 4 : Resume Mencari Jodoh

1 Mei 2005 merupakan satu tarikh keramat sejarah yang telah mengubah hidup saya.
Sebabnya apa?
Ini semuanya berpunca daripada resume saya yang telah 'disalahguna' oleh bapa saudara saya.

Sebagai seorang di awal dewasa yang masih mentah yang saya kira masih naif dalam selok belok memulakan kerjaya, saya menyerahkan resume saya kepada bapa saudara saya yang tinggal di Melaka, dengan harapan dia dapat meninggalkan di beberapa peti surat agensi majikan berpotensi di sana. Ketika itu, saya tidak faham bahawanya, sangatlah tidak efektif dan strategik untuk mencari kerja dengan cara menyerahkan resume kepada orang tengah. Malu bila dikenang kembali perbuatan saya itu.

Dan lama bapa saudara memegang resume saya itu. Rupanya, resume mencari kerja itu menjadi sebab terhadap satu permulaan fasa baru perjalanan hidup saya. Memang manusia tidak pernah memahami hikmah di sebalik sesuatu perkara.

Resume itu ditakdirkan Tuhan secara tidak sengaja dimanfaatkan sebagai satu kaedah saya bertemu jodoh.

Dan tidak semena-mena pada 1 Mei 2005 saya dipaksa oleh bapa saudara bertemu dengan seorang teruna yang tidak langsung saya kenali, bersama bapa saudara sebagai peneman.

"Tolonglah Kak Eja. Jumpa saja dahulu. Ustaz Fuad tidak paksa-paksa untuk berkawan atau apa-apa pun. Dia mahu berkenalan. Lagipun, Busu kan ada sebagai peneman," pujuk bapa saudara bersungguh-sungguh.

Sebagai seorang wanita yang meningkat dewasa, memang saya berdoa dan tidak putus berdoa agar Tuhan melorongkan jodoh saya dengan orang yang baik-baik.
Tetapi, oleh kerana ada kisah payau sebelum itu berkaitan dengan pertemuan sebegitu yang akhirnya memalukan saya, saya sudah serik. Serik sungguh!
"Malaslah Busu. Nanti kalau sudah jumpa, terpaksa pula terima," bentak saya.
"Tolonglah. Sekejap saja jumpa. Berkenalan, lepas tu, balik," ujar bapa saudara beriya.

Saya kemudiannya mendail nombor talifon rumah dan mengadu kepada mak perihal adik bongsunya yang sesuka hati memaksa anak saudaranya sebegitu rupa.

Saya tidak suka dipaksa-paksa dalam soal itu. Saya anak dara merdeka jiwa.
"Jumpa saja dahulu sebagai menghormati permintaan bapa saudara, fikir kemudian," kata mak memberi pandangan.

Jika tidak kerana mak, memang saya tidak akan turut permintaaan bapa saudara saya itu.

Saya bukan minah desperado.
Tapi, saya taati kata ibu.

Namun begitu, saya ada perancangan tersendiri untuk mengajar Ustaz Fuad yang degil mahu berjumpa saya, hanya kerana membaca resume saya.
Saya akan buatkan dia tidak tertarik dengan Faeeza yang sebenar-benarnya, getus saya.

Dengan separuh hati, saya memilih t-shirt lengan panjang milik adik saya yang tertulis nama Beckham di belakangnya untuk dipakai pada 1 May 2005.
Sambil menggosok t-shirt yang hendak dipakai itu, saya mengadu lagi kepada rakan serumah akan nasib seorang anak saudara yang dipaksa.
"Baiklah! Hendak jumpa sangat kan? Biar ustaz itu tidak berkenan dengan saya! " bentak hati saya ketika mengenakan baju t-shirt putih yang sudah usang itu.
Nantilah! Bapa saudara saya pun nak kena!
Tidak habis-habis dia berusaha untuk jodohkan saya dengan kawan-kawan dia.
Resume saya itu sudah sampai ke tangan yang salah.
Dengan hati kelat saya melangkah kaki ke pertemuan yang diatur itu dengan bermacam rasa bercampur di dalam hati saya yang masih solo itu.
Kelihatan sebuah Kancil putih yang nampak seperti kereta baru sedang diparkir di di tepi hentian bas.
Saya menghampiri selamba, langsung tidak gementar atau teruja.
"Assalamualaikum.. Hai Busu, " ujar saya terlebih dahulu sambil menghulurkan tangan menyalami dan mencium tangan Busu, adik bongsu mak yang lapan tahun lebih tua dari saya.
Saya tidak memandang langsung sosok di sebelahnya.
"Kak Eja, perkenalkan ini Ustaz Fuad, kawan Busu," balas Busu tersenyum lebar sambil melirik matanya ke arah seorang lelaki yang duduk bersebelahannya.
"Hai! Saya Faeeza." sapa saya dahulu sambil melihat lelaki itu dalam dua tiga saat dan terus membuka pintu belakang Kancil yang kelihatan seperti baru keluar kilang itu.
Lelaki itu tersenyum malu-malu, tidak berkata apa-apapun.
Dalam hati saya sempat terdetik, entah-entah dia pun dipaksa bapa saudara ke mari.
Tanpa dijemput, saya menghenyakkan punggung ke tempat duduk belakang kereta itu, betul-betul di belakang bapa saudara saya yang duduk di tempat pemandu.
Bapa saudara memandu kereta lelaki itu rupanya ke KL dari Melaka.
Terasa kereta Kancil 665 itu bergegar sedikit dengan henyakan badan saya yang beratnya lebih 60 kilo itu.
Dan saya terus berbual-bual pendek dengan bapa saudara tanpa mengendahkan kewujudan lelaki itu.
So, you want to know me, this is me and I will ignore you.
"Kita hendak ke mana dulu ya?", tanya bapa saudara lembut.
"Entah. Ikut suka hatilah. Tapi kalau nak dekat, kita ke Aplha Angle, makan di situ," jawab saya tidak teragak-agak.
Saya mahu makan dahulu. Lapar!
Biar lelaki di sebelah bapa saudara saya itu tahu saya ini jenis pemakan orangnya.
Biarkan.
Dan Kancil putih 665 memecut membelah jalan bersama saya yang sedang memasang strategi.
Tapi, Tuhan Maha Berkuasa telah mentakdirkan sesuatu untuk saya, walaupun saya menafikannya.

Bab 2 : Menjarakkan Diri Itu Ada Masanya Perlu

FB memang merupakan salah satu medan pembacaan saya.
FB bukanlah tempat saya bersosial kosong dan alhamdulillah, saya dianugerahi rakan-rakan FB yang baik-baik dan ramai dikalangan mereka menulis konten yang bermanfaat. Saya juga turut follow pelbagai page dan antaranya adalah page media.
Dalam satu bulan itu, saya asyik terbaca di FB perkongsian yang tragis dan menyayat hati. 
Lebih meruntun jiwa apabila berita tragis itu adalah tentang kanak-kanak yang menjadi mangsa.
Tidak dinafikan, memang kerja media untuk melaporkan berita-berita sebegitu.
Ada baiknya di mana berita-berita sedemikian menyebabkan kita masyarakat yang membacanya akan lebih cakna dan mengamalkan sikap mengambil berat dan berhati-hati.
Namun, bagi sebilangan orang, berita sebegini adalah pencetus kepada satu serangan panic-attack yag diakibatkan oleh mental breakdown.
Ini adalah kerana mereka mengalami mental-disorder yang mana menyebabkan reaksi mereka terhadap sesuatu perkara boleh jadi ekstrim dan berlebih-lebihan berbanding orang-orang yang normal. Ini disebabkan emosi pesakit mental disorder yang super-sensitif.
Untuk itu mungkin lebih baik untuk mereka unfollow page yang acap kali naikkan berita sedemikian.
Atau meninggalkan grup-grup media sosial seperti grup Whatsapp atau Telegram yang selalu berkongsi berita-berita dan perkara-perkara yang tragis.
Unfollow itu ada masanya perlu untuk ketenangan jiwa. Unfollow juga adalah sebagai salah satu control mechanism untuk menguruskan emosi masing-masing.
Kenali iklim jiwa sendiri dahulu sebelum menghormati cuaca hati orang lain.
Bila kita dah kenali iklim jiwa kita, mudahlah kita nak sediakan payung sebelum hujan, atau tumpangkan payung kita pada orang lain.
Bayangkan jika kita tidak bersedia dengan payung? Bila hujan turun, basahlah kita dan semua orang.
If you are not feeling good about something bad, distance yourself from it and dont feel bad doing so.
Acknowledge your feelings doesnt mean that you are playing self victims with the thunders. Acknowledging your feelings means that you are aware on how to avoid yourself from getting strucked by them.
Nampak kan?
Maka, saya yang merupakan salah seorang pejuang Anxiety Disorder yang memang pernah mengalami siri panic attack mesti melakukan sesuatu untuk mengelakkan daripada berhadapan dengan trigger terhadap panic attack ini.
Saya perlu menjarakkan diri daripada perkumpulan atau sumber-sumber pencetus yang mengganggu jiwa saya. Hatta ia bisa membuatkan saya terpaksa berperilaku seperti anti-sosial sekalipun, saya mesti mengutamakan kesihatan mental saya.
Dont be apologetic, Faeeza.
Tuhan Maha Mengetahui mengenai diri kita sendiri dan usah khuatir terhadap perancangan Tuhan.
Sebagai seorang yang berjuang dengan mental sendiri, saya akan terus berjuang dan merafakkan pengharapan saya kepada Tuhan yang menurunkan ujian ini.

Tuesday, March 5, 2019

Bab 3 : Pemarah Boleh Masuk Syurga

"Pemarah boleh masuk syurga".
Ayat yang diucapkan oleh Ustazah Sholihah seolah bergema.
Saya melopong sekejap.
Bukankah ahli syurga itu orang-orangnya tenang, masakan orang tenang itu pemarah?

Ustazah menyambung lagi "Perjuangan yang dilakukan oleh pemarah dalam menguruskan emosi marahnya itu, itulah penyebab dia boleh melangkah ke syurga"

"Baca kisah Nabi Musa yang dinukilkan dalam Al-Quran. Quran menggambarkan ekstrim emosi Nabi Musa dan bagaimana Nabi Musa itu bertaubat kepada Tuhan oleh kerana emosi baginda tersebut"

Setelah habis sesi ceramah, ustazah pun beredar dari ruang hadapan kelas dan menuju ke bahagian belakang kelas. Secara kebetulan, ustazah lalu berdekatan saya lantas saya terus menyuakan tangan bagi bersalaman.

"Terima kasih ustazah kerana menyampaikan berita gembira tersebut. Pertama kali saya mendengar bahawa "pemarah boleh masuk syurga". Ini memberi harapan kepada saya dan saya tidaklah berasa kecewa dengan sikap baran saya,"

Putus asa dengan rahmat Tuhan lebih besar dosanya daripada dosa itu sendiri.

Bab 1 : Pesan Emak Tentang Perang Nafsu

Emak selalu berpesan pada saya tentang nafsu-nafsu.
Pesanan emak ini sudah ditulis dalam versi saya.
Tetapi mesejnya tetap sama.

Pesan emak ini akan selalu diulang-ulang emak jika saya telefon emak meminta nasihat tentang hati dan perasaan.

 “Kita jangan mudah merendah-rendahkan orang yang berbuat salah.
Bahkan jika salah itu sering berulang-ulang.
Kita tidak tahu bagaimana orang itu mungkin berperang dengan dirinya sendiri untuk menghentikan tabiat buruk dan berubah menjadi lebih baik.”

 “Setiap orang akan diuji Tuhan dengan jenis nafsunya sendiri. Tidak sama dengan orang lain.
Ada orang lelaki yang memang jenis pantang dengan orang perempuan, mudah jatuh hati.
Walaupun lelaki itu sudah berkahwin. Itu perjuangan yang Allah berikan kepada lelaki itu dengan hawa nafsunya sendiri.
Mungkin dia sendiri sedar dan malu dengan nafsunya itu, tapi dia sendiri tidak mampu untuk hilangkan perasaan itu.”

 “Ada orang yang diuji dengan mulut. Mulut yang petah, terlalu suka bercakap, berbincang.
Nampak macam terlebih peramah dan sampai ke tahap suka membebel dan asyik berdebat saja dengan orang sehingga orang tidak selesa.
Tetapi, itulah ujian yang Tuhan bagi untuknya, mulut yang suka bercakap.
Mungkin dia sendiri sedar dan malu akan keadaannya itu, cuma dia tidak tahu bagaimana untuk mengentikan nafsu bercakap banyak.”

 “Ada orang yang diuji dengan sikap baran.
Sikit-sikit nak marah walapupun benda kecil di mata orang lain.
Tapi besar di mata dia.
Kasihan orang macam ini.
Dia mungkin tidak dapat kawal tahap marah dia.
Mungkin dia sedar dan malu dengan sikap baran yang tidak terkawal itu dan mahu sangat berubah.
Tapi, dia belum mampu.
Ini ujian Allah khusus untuk dia tangani.
Kita pula tidak diberikan Tuhan sikap baran itu.
Jadi kita tidak faham macam mana orang itu mudah sangat marah-marah.”

 “Perjuangan dengan nafsu, sikap dan tabiat ni, macam berjuang dengan penyakit.
Tapi orang tak nampak.
Kalau kita boleh lapang dada anggap orang-orang yang diuji dengan nafsu terhadap wanita, dengan mulut yang kuat membebel, atau yang baran sebagai orang-orang yang sakit, memang kita akan kesian dan akan bersikap untuk membantu.
Bukan untuk merendah-rendahkan mereka.”

 “Macam itu juga dengan kita.
Jika kita ada tabiat buruk, jangan terlalu rasa rendah diri.
Anggap itu ujian dari Allah khusus untuk kita berjuang.
Tetapi kita mesti berusaha untuk membuang tabiat buruk itu.
Jangan putus asa.
Jika gagal, cuba lagi.

Inilah ujian yang Allah bagi untuk naikkan tempat kita di sisiNya.
Doa banyak-banyak. Zikir jangan tinggal. Baca Quran.
Kena dekatkan hati dengan Allah kerana ujian dalam bentuk nafsu-nafsu yang pelbagai ini, semuanya dengan izin Allah.

Inilah pesan emak yang berbekas di hati saya.


Bab 2 : Satu Perjuangan Dalam Satu Perjalanan

Ini antara perjalanan saya dalam menghadapi Anxiety Disorder.
Sebenarnya ianya sangat panjang, tapi, saya pendekkan perkisahannya.

Begini ceritanya:

Telah mempunyai simtom-simtom itu sejak berzaman.
Tapi, oleh kerana jahil akan isu ini, maka, pelbagai tanggapan diberikan kepada simtom-simtom itu.
Apabila mula menginjak awal emaja, isu itu mula dihadapinya, tetapi dia menganggap bahawa itu tanda iman didadanya sangat lemah maka ketenangan di dadanya mudah diragut dengan debaran kencang di dada dan perasaan inferiority complex yang melanda.
Mood selalu low. Selalu rasa diri paling tidak lawa, paling tidak pandai, paling tidak sesuai untuk itu ini, paling tidak berharga. Rasa kelam-kabut. Rasa tidak fokus.
Mudah risau atas sebarang perkara dan terbawa-bawa ke dalam fikirannya hingga waktu tidur. Mudah risau menjadikan super sensitif dan mudah temper.

Kawan-kawan pun makin lari darinya kerana sikapnya yang turun-naik dan tidak stabil.

Masih, masih dia merasakan bahawa itu semua adalah petanda syaitan dan nafsu bermaharajalela dalam jiwanya. Dia sendiri pun,amalan ibadat khusus selalu seperti telur di hujung tanduk. Dia sedar akan hakikat amalan yang sangatlah turun naik dan tidak cukup.
Dia rasa teruk. Dia rasa takut mati kerana confirm bahawa neraka itulah tempat dia. Tapi dia rasa bahawa malaikat maut itu sangat hamper menjemputnya pulang. Dia patah semangat untuk mempunyai cita-cita yang tinggi kerana baginya segala apa di dunia ini sia-sia untuknya.

Debaran di dada makin kencang dan dia selalu kelihatan cemas. Hingga ramai orang bertanya, mengapa dia nampak cemas selalu kerana riak wajahnya kelihatan cemas. Dia malu dan makin malu kerana ada yang didalam dada dan mindanya boleh dibaca orang melalui wajahnya.

Mungkin hampir 3 dekad dia berperang dengan turun naik emosinya. Dan...fizikalnya juga seolah sensitif, sangat mudah untuk sakit-sakit. Berjumpa doktor dan pakar atas sakit-sakit fizikal menjadi rencah kepadanya. Ujian demi ujian dilakukan ke atas tubuh badannya oleh doctor. Tiada apa yang serius kata mereka.
Tapi dia tetap merasa down, kerana orang sekeliling dilihat sihat, segar bugar dan laju kencang pergerakan, sedangkan dia, sakit di situ, sakit di sini, pantang itu, pantang ini.
Asyik beri alasan, tidak sihat, tidak larat dan sebagainya.
Sistem penghadamannya sensitif. Kulitnya mudah terkana penyakit gatal-gatal, eczema.
Badannya mudah sengal-sengal dan bisa-bisa hingga pernah ketika bangun tidur, menapak saja lantai, terasa seperti tapak kaki bengkak-bengkak. Rasa bengkak, tapi, tidak pula kelihatan bengkak. Sebelum berkahwin, dia menghadapinya seorang diri, di bilik sewaannya. Selalu saja dia hadir lewat ke tempat kerja kerana mempunyai masalah untuk bangun dari tidur dan bangkit dari tilam. Dia menyalahkan dirinya kerana dia beranggapan bahawa badan yang berat dan sakit-sakit itu petanda malas. Walhal, memang tubuh badan dan jiwanya sedang sakit. Setelah berumahtangga, suaminyalah yang memimpin tangannya untuk bangkit dari katil da menapak ke bilik mandi ketika fasa dia berulang-alik dari KL ke Tampin dan KL ke Seremban.

Dan dia lebih merasakan bahawa dia seperti pendek umur dan hampir mati.
Cemas sentiasa, adakah esok dia akan mati? Cemas, cemas, cemas. Risau, risau, risau.
.
Pernah beberapa kali rasa hendak pitam. Pernah kerap kali rasa sejuk menggigil tanpa sebab.
Pernah dia mendengar denyutan jantungnya sendiri di telinganya, dan dia panik, sangat panik, adakah malaikat Izrail di sebelahnya. Itulah rupanya siri panic attack yang dialaminya.

Dia merasakan bahawa semua orang di sekelilingnya tidak memahaminya dan menyalahkannya bahawa kesakitan yang dialaminya hanyalah alasan dan cubaan menarik perhatian. Maka dia menjadi anti-sosial dan selalu mengelak daripada bertemu orang atau ke majlis pertemuan keluarga kerana dia malu.

Entah, mungkin itu hanya sangkaan dia kepada orang sekeliling yang memandangnya melalui hujung mata, walhal mungkin mereka juga simpati, cuma tidak mengerti kondisi sebenar yang dialaminya.

Dia rasa malu untuk hadir ke majlis kekeluargaan apabila fizikalnya sedang diuji, sakit belakang, kulit tangan pecah-pecah gatal. Malu dan takut dikata mengelat apabila tiba waktu tolong menolong di dapur.

Dia mengelak, bukan kerana malas, tapi, dia takut dan malu dengan sebarang label.

Dia juga fobia apabila rumahnya mahu ditandang orang. Kerana, rumahnya berselerak-tarak kerana dia tidak larat dan tidak ada motivasi untuk mengemas kerana dalam mindanya sentiasa berkata "engkau memang tidak pandai mengemas rumah", "engkau jenis pemalas", dan pelbagai kata-kata negatif.

Apabila makin difikir-fikir, makin beremosi, apabila makin emosi, makin orang menjauhi dan fizikalnya juga semakin sakit-sakit.

Apa pilihan yang dia ada? Adakah pilihan untuk dia?

Dia menangis teresak-esak dan berkata kepada suaminya "Tolong tukar badan saya dengan badan abang dan tukar juga dada dan otak saya dengan abang barang sehari agar abang faham bagaimana saya rasa dan fikir"
.
Ada masa-masanya, dia berkata kepada suaminya
"Bolehkah saya bertukar dan menjadi pendiam dan tenang macam abang?"
.
Suaminya hanya memeluknya, diam, tidak berkata apa-apa. Lega sebentar.

Dia terusan mencari cara untuk keluar dari permasalahan jiwanya, kerana tiada siapa yang boleh membantunya walau suaminya sendiri, kerana itu adalah jiwanya, maka dialah yang harus bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan ke atasnya nanti.

Dia mula membanyakkan bacaan spiritual, bacaan dari sumber keagamaan dan sebagainya.
Ibunya berpesan agar membanyakkan zikir dan mendekatkan diri dengan Al-Quran. Dia ingat pesan itu.

Dia berefleksi.
Dia masih bernyawa dan dia tidaklah seteruk insan lain yang sudah hampir gila.
Dia masih mampu ketawa dan menjalani hidup biasa.
Dia punyai cahaya mata yang sihat walafiat dan menghiburkan hatinya.
Dia punyai pasangan hidup yang sejak hari pertama bernikah telah menerima dia seadanya dan telah bersabar serta berada di belakangnya, inilah antara hadiah paling berharga dari Tuhannya.
Dia masih punyai kerjaya yang bagus dan dapat menyumbang untuk keluarganya.
Dia masih mampu ketawa dan menceriakan harinya dan orang-orang di sekelilingnya walau seketika.
.
Dan senarai nikmat serta anugerah itu, tiba-tiba hinggap di kepalanya dan memenuhi segenap ruang hatinya.
.
"Allah..banyaknya pemberian dan nikmat yang Engkau telah titipkan di sebalik ujian kecil yang aku alami ini"

Dia menambah lagi koleksi bacaan yang spiritual.
Al-Quran dan zikir itu memang membantu penenang jiwa.

Dia mula menambah kawan yang positif dan sefahaman.
Dia mula membuka pintu rumah untuk orang datang bertandang.
Rumah berselerak?
Tidak lagi, kerana dia sudah pandai delegate kerja.
Upah pembantu yang setia datang membantu setiap dua minggu bagi meringankan tugasan mencuci dan mengemas rumah.
Dari pembantu itulah dia belajar teknik-teknik membersih dan mengemas rumah.
Dan konfidennya dalam isu kemasan rumah mulai naik.
Itu, walaupun kecil bagi kebanyakan orang, adalah satu pencapaian yang mensyukurkan dia.
Dia belajar untuk meraikan pencapaian kecil dengan bersyukur.
Kuncinya adalah untuk memusatkan hati dan fikiran pada nikmat dan pemberian kecil dalam hidup dan terusan bersyukur.
Itu kunci awal sebelum dia membuat keputusan seterusnya.

Dia mula berefleksi dan memasakkan fikiran ke Langit.
Tiga figura penting dalam hidupnya yang memahami dan memberi sokongan mental dan fizikal kepadanya iaitu, ibu, bapa dan..suaminya.

Ya, insan-insan yang dipinjamkan Tuhan untuk hadir dalam hidupnya ini adalah bantuan dari Tuhan sebenarnya.

Akhirya, dia yang selama ini degil dek kerana malu, untuk merujuk isu perasaannya kepada profesional, telah dibukakan hati oleh Tuhan, membuat keputusan berjumpa doktor dan menceritakan isu emosi dan fikirannya.

Dan sekali lagi, Doktor itu menjadi figura keempat yang begitu baik mendengar dan tidak judgemental.
Inilah doktor pertama yang baginya sangat mendengar isu yang selama ini dia malu untuk ketengahkan.

Dia menerima ubatan yang diberikan.
Saraf-safar di otaknya perlu dibantu dengan ubatan. Walau tidak 100% membantu, tapi, ianya boleh mengurangkan simtom-simtom yang selama ini dideritainya.

Dia berusaha dengan semua cara rawatan yang ada untuk menyembuh dan menstabilkan jiwa, emosi dan fikirannya.
Alternatif.
Spiritual.
dan Klinikal.

Selagi hidup, selagi itulah, manusia diuji.
Dia tidak mahu diri dan hidupnya didefinisikan dengan masalahnya.
Dia tidak mahu diri dan hidupnya dilabel dengan sakit-sakitnya.
Ujian, kesakitan, kesedihan dan kerisauan adalah sebahagian daripada kehidupan yang juga penuh dengan kegembiraan, nikmat, kepuasan dan pencapaian.

Dan inilah antara salah satu ujian kecil yang telah lama saya hadapi.

Anxiety Disorder, bukan alasan, apatah lagi kebanggaan. Ia adalah perjuangan. Ia adalah ujian dari Tuhan.



Bab 1: Membina Batu Asas Yang Merobohkan


Yasmin menyebut bahawa ibu-ibu sering berasa bersalah kerana berasa ‘selfish’. 

Perasaan bersalah sebegini, tidak semestinya tepat. Ketika para ibu berasa bersalah kerana melakukan sesuatu untuk diri mereka sendiri, maka, ketika inilah rasa bersalah ini tidak patut.

Apabila ibu memusatkan keutamaan terhadap anak-anak, maka, ibu sedang membina asas keluarga yang merobohkan keluarga tersebut.

Asas sesebuah keluarga bukanlah anak-anak.
Asas sebuah keluarga adalah perkahwinan. 
Ya, perkahwinan di antara ibu dan bapa, atau suami dan isteri yang menjadi pemula kepada sesebuah keluarga.

Suami dan isteri bukanlah co-parent terhadap satu sama lain, tetapi suami dan isteri adalah pasangan terhadap satu sama lain di dalam rumah tangga melalui pernikahan yang dijalin.

Yasmin menegaskan agar para isteri tidak meremehkan suami apabila menimang cahaya mata kerana perkara ini boleh menimbulkan masalah di kemudian hari. Setiap permasalahan yang berlaku di dalam sesebuah perkahwinan mempunyai punca-akar, ujarnya lagi.

Apa yang terjadi terhadap sesebuah rumahtangga yang porak peranda adalah kerana pasangan suami isteri telah menyemai benih yang salah dalam tempoh masa yang lama. 
Dan salah satu daripada punca-punca tersebut adalah apabila hubungan antara suami dan isteri diremehkan oleh kerana kesibukan membesarkan dan memberi tumpuan terhadap anak-anak.

Benarlah seperti yang Yasmin sebutkan sebelum itu bahawa semua pemberian Tuhan adalah hadiah, dan hadiah-hadiah dari Tuhan juga merupakan ujian.

Anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang sangat bermakna, tetapi mereka juga merupakan ujian Tuhan yang mencabar.

Saya mengoreksi diri dan keluarga, adakah kami telah membina batu asas yang kukuh, atau sebaliknya?

Bab 1 : Mengumpul Sampah Orang Di Laman Jiwa Sendiri


Wanita yang terpuji, kata Yasmin, selalu dinisbahkan sebagai wanita yang berkorban, wanita yang menderita dan bersabar dengan penderitaannya.

Kita turut dididik bahawasanya wanita baik-baik adalah wanita yang diam, atau lebih tepat, pasif. Lemah lembut wanita yang baik-baik dikaitkan dengan sikap suka mengalah demi orang lain.

Sebagai wanita, kita turut dimomokkan bahawa “Kamu mesti mengorbankan dirimu demi kebaikan orang lain di sekelilingmu (seperti suami dan anak-anak)”. 

Wanita juga dikatakan baik apabila mereka meletakkan orang lain lebih penting daripada diri mereka sendiri.

Namun Yasmin melontarkan soalan bahawa sedarkah kita bahawasanya Saidatina Aishah (RA) merupakan seorang wanita yang lantang bersuara? 
Aishah (RA) juga merupakan ilmuwan Islam yang menghafal hadith. 
Ini bermakna beliau bukan wanita yang pasif dan diam.

Yasmin kemudiannya mengajak audien untuk membayangkan sekiranya kita memiliki kereta, kereta digerakkan dengan enjin yang terisi dengan minyak. Kereta tidak dapat bergerak sekiranya enjin kosong tanpa minyak.

Di dalam penerbangan pula, penumpang dilatih untuk memakai topeng oksigen ke muka sendiri sekiranya berlaku kecemasan sebelum membantu orang-orang di sebelah memakai topeng oksigen mereka.

Itulah analoginya.

Sekiranya kita wanita tidak mengambil berat tentang diri sendiri dan hubungan dengan Tuhan, namun melebihkan kepentingan orang lain berbanding hubungan kita dengan Tuhan, maka kita mengundang masalah.

Berapa kerapkah kita mengorbankan tuntutan Tuhan seperti meninggalkan atau melewatkan solat kerana menguruskan rumahtangga?

Berbaloikah pengorbanan sebegini? 

Atau kita mengumpul sampah di ruang jiwa kita sendiri.

Sunday, March 3, 2019

Bab 3: Pintu-pintu Yang Perlu Dibuka


Apabila berfikir mengenai diri sendiri, apakah yang kita paling takuti?

Saya pernah di dalam fasa inferiority complex di mana perasaan rendah diri sangat menguasai diri dan saya berada di dalam fasa itu selama bertahun-tahun. Ketika itu, saya berasa takut dengan kekurangan dan kelemahan diri sendiri dan ini memakan diri saya sendiri buat sekian lamanya.

Saya kerugian masa yang panjang kerana asyik terperangkap dengan rasa takut yang menahan saya daripada ke hadapan.

Kerana dibayangi rasa takut, begitu banyak pintu-pintu masa hadapan yang kita telah tutup untuk diri kita.

Pintu Ketakutan adalah pintu pertama yang perlu dibuka.
.
Berhadapan dengan ketakutan, kita harus dahulu berani untuk menerima kekurangan dan kelemahan diri. Terima dahulu, bukan menafikannya atau lari darinya.
Bukan juga untuk dikesali, tetapi untuk diuruskan dengan bijaksana.
.
Setelah itu, pintu kedua yang merupakan Pintu Peluang akan terbuka luas untuk kita teroka, setelah kita tahu cara bagaimana untuk mengurus dan mengendali kekurangan yang ada pada diri.


Bab 2 : Mengapa Risau Itu Mesti Melampau-lampau?

Anxiety Disorder.
Ya, saya adalah antara pejuang ini.
Doktor yang mengdiagnosis menasihatkan agar saya merahsiakan daripada bos dan rakan kerja tentang kondisi ini. Sebab, pengalaman beliau deal dengan pesakit-pesakit beliau, ramai yang kena stigma oleh bos, kawan-kawan bahkan ahli keluarga apabila mengalami isu kesihatan mental. Orang kita masih belum matang menerima penyakit ini dengan minda terbuka, kata doctor.
Kata doktor, simtom-simtom dan isu yang saya hadapi insyaallah manageable dengan ubatan secara klinikal.
Dia prescribed saya dengan dua jenis ubatan.
So katanya, biar saya dan dia serta suami saja yang tahu akan kondisi ini.
Tak payah lagi bagitahu bos, melainkan sekiranya terlalu memberi kesan sangat terhadap produktiviti dan kerja.
Sebenarnya, saya dah berhadapan dengan isu ini sejak kecil lagi, tetapi apabila sudah dewasa, akal fikiran terpanggil untuk membuat kajian terhadap kondisi diri sendiri melalui bacaan dan akhirnya, di bilik konsultansi doctor. Alhamdulillah, bantuan Tuhan disalurkan melalui sistem sokongan yang saya terima dari suami, keluarga serta doktor yang sangat baik hati serta empati.
Doktor yang saya jumpa itu belum nampak keperluan untuk saya pergi sesi terapi tingkah-laku dan beliau sarankan saya mencuba dengan ubatan dahulu.
Maka, saya ikut saja pandangan doktor ni dahulu. Beliau lebih berpengalaman deal dengan ramai pesakit.
Simtom-simtom ADHD pula, memang 90% saya miliki, sejak kecil.
Saya didiagnosis dengan Anxiety Disorder, dan adakah ADHD ini puncanya? Saya masih tidak boleh membuat sebarang konklusi kerana masih belum berjumpa pakar di bidang ini.
Saya seperti pejuang lain, tidak mahu distigmakan, tidak mahu didiskriminasi, tidak mahu dilabel.
Dan kami tidak langsung bangga atau menjadikan kondisi ini sebagai satu excuse.
Ia adalah satu kondisi di otak dan minda kami yang kami perlu uruskan dan ianya sangat mencabar dan menguji kami dan orang-orang di sekeliling kami terutama ahli keluarga kami.
Bila baca quote di bawah...ianya menerangkan bagaimana otak saya berfungsi. Overwhelmed saja. Suis tidak boleh ditutup.





Bab 1 : Apakah Greatest Test Bagi Wanita?


Apabila Yasmin Mogahed menyebut tentang anak-anak merupakan 'the greatest test for women', beliau mengatakan bahawa ramai di kalangan para ibu berfikir bahawa setelah bergelar ibu, hidup seorang wanita itu adalah 100% dan 360 darjah berkisar tentang anak, anak dan anak-anaknya sahaja.

Ibu kemudiannya bergelut dengan conflict of interest antara anak-anaknya dan pihak-pihak lain yang berhak ke atas dirinya.

Pihak-pihak itu adalah:
-Maha Penciptanya
-Suaminya
-Dirinya sendiri.
-Dan pelbagai pihak lagi

Kerana terlalu memusatkan fokus hati kepada anak-anak, ibu melakukan hal ini:
-Menidakkan hak Tuhan untuk ibadah khusus denganNya.
-Menidakkan hak suami seperti contoh untuk menyantuni dan melayani nafkah zahir batinnya.
-Menidakkan hak untuk diri sendiri seperti meningkatkan ilmu, menjaga diri sendiri dan kesihatan
- Dan hak-hak pihak lain.

Yasmin mengingatkan bahawa asas sebuah keluarga adalah perkahwinan, bukan anak-anak.

Suami atau isteri bukan sekadar tinggal di bawah satu bumbung menjadi co-parents kepada anak-anak mereka, kata beliau. Suami dan isteri pada dasarnya adalah pasangan suami isteri. Konsep ini adalah asas kebahagiaan mana-mana rumahtangga.

"Dont put your husband aside when you have kids." kata Yasmin.

Parenting bukanlah bermaksud meletakkan anak-anak sebagai pusat di jiwa, tetapi parenting pada dasarnya adalah meletakkan anak-anak di tempat yang selamat fizikal, jasmani, rohani, dunia dan akhirat mereka.

Apabila seorang ibu terlalu memusatkan fokus dan keutamaan kepada anak dan anak-anaknya semata-mata, ibu itu sebenarnya sedang membesarkan seorang *narcissist. Ibu membesarkan seorang Raja. Raja kepada diri ibu itu sendiri.

Ibu seperti itu, kata Yasmin sedang mendidik fikiran anak bahawasanya, “dunia ini adalah tentang aku sahaja dan aku seorang sahaja yang penting di dalam dunia ini”.

"When you are raising a mama-boy, you are raising a man without a back-bone. You stuck his growth." ujar beliau.

Tegas beliau, para ibu harus mencintai anak-anaknya dengan cara yang sihat tanpa mengundang padah.

Yasmin mengingatkan maksud hadis Nabi Muhammad (baca selawat) tentang akhir zaman di mana ibu-melahirkan tuannya.

Yasmin turut menegaskan bahawa bagi seorang suami di dalam rumahtangga, tiada persaingan di antara ibunya dan isterinya.

Beliau menyatakan kepentingan:
-To put everything in proper place
-To give everyhing the proper right

Tuhan, kata Yasmin adalah 'Above all'. Itulah konsep La Ilaha ILLaLLah.

Takrifan Ubudiyah bukanlah sekadar melakukan ibadah ritual seperti beribadah atas tikar sejadah semata-mata.

Ubudiyah adalah pengabdian diri secara total kepada Tuhan, tidak menukar-ganti Tuhan dengan sesiapapun atau apapun di dalam hati.

Yasmin Mogahed mengingatkan untuk memahami pengertian LA ILAHA ILLALLAH. Ungkapan ini bukan sekadar lafaz di bibir sahaja.

Tiada Tuhan SELAIN Allah. Fahami tafsirannya, kata beliau. Tidak salah mengasihi anak-anak, kerana ini lumrah ibu bapa. Tetapi anak-anak bukan pemusatan cinta kita, Yasmin mengingatkan secara serius.

Kehilangan yang paling dasyat adalah apabila hilang Tuhan dari jiwa, ujarnya lagi. Ini, kata Yasmin, adalah the worst human suffering, bahkan melebihi kesengsaraan apabila kehilangan orang tersayang.

Yasmin menyebut dengan tegas kepada peserta terutamanya dari kalangan para ibu;

"Dont replace God with your children. Dont! As you may raise them wrongly and it will harm both of you and the child."

Kerana, kata Yasmin, seorang wanita, apabila menjadi ibu, maka anak-anak adalah ujian terbesar buatnya. Anak-anak pada dasarnya adalah anugerah Tuhan, kata Yasmin tidak menyangkal fakta ini. Tapi, segala anugerah di dunia adalah ujian, ingatnya lagi.

"Berikan hak yang seadilnya kepada semua manusia, termasuk dirimu sendiri, pasanganmu dan anak-anak." ujarnya.

"Berapa banyak kali solat yang ditinggalkan atau tertinggal atau dilewatkan kerana terlalu sibuk dengan menjaga bayi dan anak-anak kecil?" asak Yamin lagi.
  
*narcissit : a person who has an excessive interest in or admiration of themselves.

BAB 5 : Artikel 10

...