Tuesday, March 5, 2019

Bab 1 : Pesan Emak Tentang Perang Nafsu

Emak selalu berpesan pada saya tentang nafsu-nafsu.
Pesanan emak ini sudah ditulis dalam versi saya.
Tetapi mesejnya tetap sama.

Pesan emak ini akan selalu diulang-ulang emak jika saya telefon emak meminta nasihat tentang hati dan perasaan.

 “Kita jangan mudah merendah-rendahkan orang yang berbuat salah.
Bahkan jika salah itu sering berulang-ulang.
Kita tidak tahu bagaimana orang itu mungkin berperang dengan dirinya sendiri untuk menghentikan tabiat buruk dan berubah menjadi lebih baik.”

 “Setiap orang akan diuji Tuhan dengan jenis nafsunya sendiri. Tidak sama dengan orang lain.
Ada orang lelaki yang memang jenis pantang dengan orang perempuan, mudah jatuh hati.
Walaupun lelaki itu sudah berkahwin. Itu perjuangan yang Allah berikan kepada lelaki itu dengan hawa nafsunya sendiri.
Mungkin dia sendiri sedar dan malu dengan nafsunya itu, tapi dia sendiri tidak mampu untuk hilangkan perasaan itu.”

 “Ada orang yang diuji dengan mulut. Mulut yang petah, terlalu suka bercakap, berbincang.
Nampak macam terlebih peramah dan sampai ke tahap suka membebel dan asyik berdebat saja dengan orang sehingga orang tidak selesa.
Tetapi, itulah ujian yang Tuhan bagi untuknya, mulut yang suka bercakap.
Mungkin dia sendiri sedar dan malu akan keadaannya itu, cuma dia tidak tahu bagaimana untuk mengentikan nafsu bercakap banyak.”

 “Ada orang yang diuji dengan sikap baran.
Sikit-sikit nak marah walapupun benda kecil di mata orang lain.
Tapi besar di mata dia.
Kasihan orang macam ini.
Dia mungkin tidak dapat kawal tahap marah dia.
Mungkin dia sedar dan malu dengan sikap baran yang tidak terkawal itu dan mahu sangat berubah.
Tapi, dia belum mampu.
Ini ujian Allah khusus untuk dia tangani.
Kita pula tidak diberikan Tuhan sikap baran itu.
Jadi kita tidak faham macam mana orang itu mudah sangat marah-marah.”

 “Perjuangan dengan nafsu, sikap dan tabiat ni, macam berjuang dengan penyakit.
Tapi orang tak nampak.
Kalau kita boleh lapang dada anggap orang-orang yang diuji dengan nafsu terhadap wanita, dengan mulut yang kuat membebel, atau yang baran sebagai orang-orang yang sakit, memang kita akan kesian dan akan bersikap untuk membantu.
Bukan untuk merendah-rendahkan mereka.”

 “Macam itu juga dengan kita.
Jika kita ada tabiat buruk, jangan terlalu rasa rendah diri.
Anggap itu ujian dari Allah khusus untuk kita berjuang.
Tetapi kita mesti berusaha untuk membuang tabiat buruk itu.
Jangan putus asa.
Jika gagal, cuba lagi.

Inilah ujian yang Allah bagi untuk naikkan tempat kita di sisiNya.
Doa banyak-banyak. Zikir jangan tinggal. Baca Quran.
Kena dekatkan hati dengan Allah kerana ujian dalam bentuk nafsu-nafsu yang pelbagai ini, semuanya dengan izin Allah.

Inilah pesan emak yang berbekas di hati saya.


No comments:

Post a Comment

BAB 5 : Artikel 10

...