Thursday, April 4, 2019

BAB 2 : SAKITKAH AKU, ATAU MENGADA-NGADA?

Sama seperti kanak-kanak lain, zaman kanak-kanak merupakan zaman yang menyaksikan saya aktif beraktiviti fizikal seperti bermain, bersukan dan beriadah. Memang tidak dinafikan, zaman kanak-kanak adalah antara fasa hidup yang mengujakan dan menggembirakan. Bermandi-manda di sungai, memanjat pokok, bermain kejar-kejar, berbasikal dan pelbagai jenis permainan budak kampung telah saya hadap.

Keadaan ini berubah ketika saya menginjak remaja sehinggalah meniti alam dewasa.
Mungkin faktor berat badan dan keadaan tubuh badan yang agak gempal ketika itu membataskan keinginan saya untuk berlasak-lasak dengan aktiviti fizikal.

Namun, isu kesihatan fizikal yang saya alami turut menjadi faktor saya menjauhi sebarang aktiviti lasak.

Ketika meniti awal 20an, iaitu ketika mula menapak setapak ke alam kerjaya, saya mula mengalami sakit-sakit yang disebabkan oleh isu kecederaan di bahagian bawah-belakang (low-back) saya.
Sakit-sakit di bahagian bawah belakang, betis dan kaki merupakan simtom terhadap isu slip-disc di tulang belakang dan kecederaan lama di bahagian pinggul kiri saya. 

Namun, saya mengambil masa untuk menyedari bahawa kesakitan yang saya alami itu adalah real dan ia merupakan simtom terhadap kecederaan di badan saya. Ironinya, saya sendiri memikirkan bahawa sakit-sakit yang saya alami itu adalah mainan perasaan dan disebabkan saya terlalu memanjakan diri, atau dalam istilah lain adalah mengada-ngada!

Salah satu sebab saya berasa bahawa saya terlalu memanjakan diri adalah kerana kesakitan di low-back saya itu pada asalnya dialami ketika saya mahu bangun tidur di waktu pagi. Disamping kesakitan itu, badan saya terasa begitu penat dan tentunya perasaan berat untuk bangun duduk dari pembaringan menguasai diri pada setiap pagi termasuklah lima hari bekerja. Mengapa di awal pagi saya sensasi sakit belakang ini hadir, fikir saya. Adakah ini hanya mainan perasaan? Dan perasaan ini menyebabkan saya sentiasa menyalahkan diri saya sendiri dan berasa sangat rendah diri kerana seringkali hadir lewat ke pejabat. Ini sungguh memalukan! Dan saya tenggelam dengan rasa malu, bersalah yang tidak berkesudahan terhadap isu sakit belakang saya dalam tempoh masa yang lama. 

Teringat lagi saya, ketika masih lagi fresh-graduate, saya mendapat pekerjaan sementara di Kuala Lumpur dan saya duduk menyewa bersama rakan-rakan di sebuah rumah flat dua bilik dan saya hanya tidur beralaskan comforter yang diberi oleh ibu saudara. Sehinggalah saya berpeluang membeli tilam spring yang tebal, kesakitan di belakang saya sedikit berkurangan. Maka, tahulah saya bahawa, badan saya tidak berupaya untuk berbaring di atas permukaan yang keras seperti lantai, tanpa di alas dengan tilam yang tebal yang mampu menyokong belakang badan saya yang mempunyai kecederaan lampau.

Saya mudah diserang sakit belakang sekiranya terlalu lama duduk, terlalu lama berdiri atau duduk atau berbaring di atas permukaan yang keras.

Kesakitan bawah belakang yang saya alami ketika itu sungguh memberi kesan kepada emosi saya. Saya berasa sungguh malu kerana saya risau dilihat mengada-ngada, tidak tahan sakit. 
Sehinggakan ketika bakal suami memaklumkan hasrat untuk memperisterikan saya, maka, saya maklumkan terus kondisi badan saya yang 'manja' dan selalu jatuh sakit untuk memastikan beliau benar-benar sudi menerima saya seadanya kerana saya bukanlah jenis wanita yang lasak atau tahan lasak fizikalnya. Saya tidak mahu bakal suami menyesal beristerikan seorang wanita yang lembik, fikir saya ketika itu.


No comments:

Post a Comment

BAB 5 : Artikel 10

...