Apabila aku menyatakan bahawa cita-cita dan impianku untuk memiliki rumah sendiri telah ku tidak jadikan lagi sebagai satu fokus atau tujuan aku bekerja, tidak sedikit orang yang melopong sehingga buntang-buntang mata. Lantas, aku tidak lagi berkongsi akan hal ini dengan sesiapa. Hatta dengan pasangan hidup sekalipun, ianya boleh menjadi satu subjek perdebatan yang akhirnya akan menjadi satu medan hasutan syaitan untuk bertelingkah.
Siapa yang tidak mahu memiliki kediaman sendiri?
Namun, apakah itu tujuan utama hidup di dunia?
Memilik kediaman sendiri, kerana tidak mahu selamanya menyewa?
Panjang untuk ku bahaskan.
Aku tidak sesekali anti kepada pemilikan rumah. Aku tidak anti membeli-rumah.
Yang aku tidak suka adalah apabila menghambakan selambak wang pendapatan untuk membayar ansuran rumah sehingga seolah-olah, pemilikan ke atas rumah itu adalah sesuatu yang menjadi fokus kepada semua individu walaupun individu itu tidak mampu.
Bukannya aku tidak mempunyai rumah atas namaku sendiri.
Aku telah membeli rumah pada tahun 2004 di kampung untuk didiami oleh ibu bapa dan adik-adikku, dan aku masih membayar ansuran rumah ini untuk beberapa tahun lagi dan alhamdulillah, ansuran bulanan ini masih di dalam kemampuanku dan baki gaji selepas membayar ansuran masih membolehkanku menggunakan wang untuk perbelanjaan lain yang lebih utama dalam memaknakan hidup.
Aku telah melihat beberapa siri kematian yang mana, si mati mempunyai harta, property dan rumah yang melebihi satu dan akhirnya, tiada satu pun yang bisa dibawa masuk ke dalam liang lahad hatta simen dan batu-bata dari setiap rumah dan berekar-ekar tanah yang dimilikinya. Apabila dikuburan, hanya tanah di kuburan yang digunakan untuk menimbus jasad.
Apabila aku tidak teringin untuk memohon jawatan tetap di tempat kerjaku yang merupakan satu Badan Berkanun, ramai yang mengatakan aku tersilap mencatur laluan kerjayaku.
Apabila bekerja di agensi kerajaan, lumrahnya, setiap pekerja mahukan status jawatan tetap kerana mahukan security dan pencen serta apabila bersara layak mendapat golden hand shake yang boleh terjumlah sehingga berpuluh ribu, bahkan jika jawatan tinggi, boleh mencecah enam angka.
Apa yang tidak faham adalah apa yang aku cuba elakkan adalah daripada berasa terlalu terikat dengan organisasi dan jawatan tetap itu sehingga berasa terlalu selesa dan terlebih yakin bahawa pekerjaan itu menjamin hidupnya dan hari tuanya.
Dan aku seringkali melihat perangai tidak baik sebilangan pekerja jawatan tetap yang merasakan diri mereka selamat bekerja tanpa diambil tindakan serius sekiranya mereka melakukan kesalahan-kesalahan yang bagi mereka tidak besar, tetapi masih dikategorikan sebagai kesalahan.
Perasaan tidak pasti dan berasa tidak selesa itu lebih membahagiakan aku kerana dari situ ia mendidik aku agar sentiasa menyandarkan harapanku kepada Tuhan. Kerana aku tahu bahawa keselesaan dan kepastian hakiki itu ada pada hidup selepas aku menempuh kematian. Maka seeloknya aku menyibukkan diriku dengan memikirkan startegi untuk memenuhkan akaun akhiratku, untuk memiliki istana di akhirat, untuk mendapat jawatan tetap bersama Rasulullah SAW di hari kebangkitan nanti.
Entah, aku tidak pasti bagaimana boleh ku lalui esok hari. Setiap hari, ini yang kufikirkan. Hanya kepada Allah aku sandarkan rasa bimbang dan rasa tidak selamat ini.
No comments:
Post a Comment