Thursday, April 4, 2019

BAB 4 : Jodoh Yang Disegerakan

Seminggu selepas ditemukan buat pertama kalinya oleh bapa saudara, lelaki itu terus menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya.. Hati saya pula mudah menerima lamaran itu.  Saya sendiri tidak pasti mengapa begitu lembut hati saya menerima jejaka itu. Walhal pada ketika itu, saya bekerja di Kuala Lumpur dan lelaki itu bekerja di Melaka. Tidak terfikir pula segala risiko dan cabaran yang akan kami lalui selepas bernikah dengan keadaan tempat kerja yang agak jauh dari satu sama lain. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala perancangannya.

Allah jualah yang menitipkan rasa suka saya kepada lelaki itu.

Lelaki tersebut menyatakan dengan jelas bahawa, dia tidak mahu hubungan saya dan dia hanya sekadar berkawan-kawan kerana itu adalah membuang masa dan tidak dituntut agama dan dia serius untuk memperisterikan saya. Katanya, dia mahu masuk meminang dalam kadar segera dan tempoh bertunang yang dicadangkan adalah maksima enam bulan.

Menjawab lamarannya, saya katakan padanya agar dia terus berjumpa ibu bapa saya dan meminta izin. Seminggu kemudiannya, dia bersama bapa saudara, tanpa kehadiran saya, menuju ke rumah ibu bapa saya di utara tanahair dan menyatakan hasratnya kepada kedua ibu bapa saya.

Abah dan mak, turut lembut hati menerima lamaran tersebut dan majlis pertunangan berlaku kira-kira sebulan selepas dia pertama kali bertemu ibu bapa saya.

Proses jodoh saya dan suami, seawal dipertemukan kali pertama, kemudian ditunangkan dan akhirnya dinikahkan, seolah sangat ekspres dan berlangsung mudah. Bukan tidak ada cabaran, bahkan, banyak cabarannya kerana saya dan bakal suami masing-masing belum cukup kukuh dari segi kewangannya, namun, ada jalan yang memudahkan kami melangsungkan juga majlis pernikahan dan majlis kenduri di kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan.

Seingat saya, baju pada majlis pertunangan yang saya pakai adalah kain pasang bewarna putih yang saya beli berharga RM40 dan dijahit oleh ibu saudara saya. Dan baju itulah juga yang saya sarung pada majlis pernikahan kami. Saya memang sangat mempunyai kekangan bajet, maka mesti berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan majlis perkahwinan saya. Segala perkara yang bersifat aksesori dan sampingan, saya abaikan.
Sebagai anak sulung sembilan beradik yang memiliki empat orang adik perempuan, saya tekad untuk menunjukkan contoh yang baik dan menjadi benchmark terhadap adik-adik saya agar mengikuti jejak langkah saya dalam mendirikan rumahtangga kelak. Saya pasakkan dalam hati bahawasanya, majlis akad nikah, majlis kenduri kahwin saya mesti patuh-syariah dan tidak bermewah-mewah dan benchmark ini harus diikuti oleh semua adik-adik saya apabila melihat kakak sulung mereka menunjukkan contoh sebegitu.

Pada majlis akad nikah, saya menata rias wajah saya sendiri dengan alatan mekap yang saya beli sendiri daripada Avon, tanpa sebarang kemahiran menyolek. Hinggakan pada majlis kenduri, mujurlah kakak sepupu saya datang sebagai bidan terjun untuk menyolek wajah saya. Atau tak, saya sendirilah yang akan menyolek wajah saya tanpa sebarang sentuhan bagi solekan pengantin. Segalanya ringkas dan saya tidak begitu mengambil berat tentang perkara-perkara seperti solekan dan hiasan pada majlis perkahwinan. Tiada sebarang pelamin yang saya sediakan di rumah saya kerana saya memang tidak mahu bersanding di atas pelamin kerana saya begitu malu untuk berbuat demikian.

Maka, dengan mengabaikan aspek aksesori, saya dapat mengurangkan perbelanjaan majlis kenduri kahwin di rumah saya itu.

Walau bagaimanapun, majlis kenduri saya tetap meriah dengan kehadiran ramai jiran tetangga dan sanak saudara. Alhamdulillah. Ada orang baik hati menyumbangkan seekor lembu bagi kenduri itu, maka, dua ekor lembu yang dijadikan menu untuk jamuan kenduri saya tersebut.

Lima dulang hantaran pengantin lelaki kami balas dengan berbelas-belas dulang oleh kerana begitu banyaknya barangan hantaran berupa makanan yang dihadiahkan oleh rakan-rakan mak dan abah serta jiran tetangga kami. Begitulah budaya di kawasan perumahan saya  ketika itu. Mereka berbesar hati untuk menghadiahkan barangan makanan seperti kuih muih yang dibentuk istimewa untuk dijadikan sebagai hantaran.

Walhal, saya sangat last minute ketika menyiapkan hantaran. Saya tidak punyai banyak masa untuk menguruskan majlis perkahwinan yang diadakan di rumah mak abah di Utara kerana saya bekerja di Kuala Lumpur dan hanya pulang bercuti untuk majlis kenduri tiga hari sebelum majlis!

Sebagai anak sulung, saya tidak mempunyai adik beradik lebih tua untuk membantu saya. Adik-adik saya rata-ratanya masih bersekolah dan belum cukup matang untuk membantu tugasan serius seperti majlis perkahwinan, fikir saya ketika itu.

Apabila difikirkan kembali, begitu banyaknya cabaran ketika kami membuat persediaan untuk melaksana majlis perkahwinan terutama dari segi kekangan kewangan. Berjumpa pertama kali pada 1 Mei, bertunang pada 11 Jun dan dinikahkan pada 17 Disember. Semuanya pada tahun yang sama.

Jodoh yang disegerakan. Siapalah lagi yang boleh memudahkan segala urusan jika tidak Tuhan?


No comments:

Post a Comment

BAB 5 : Artikel 10

...