Thursday, April 4, 2019

BAB 4 : Kampung Halaman, Acuan Pemikiran


Saya dilahirkan di Melaka. Melaka merupakan kampung emak. Abah dan mak bertemu jodoh di sini. Abah bekerja di Melaka dan ianya menjadi titik perkenalan antara abah dan mak.

Walaupun begitu, sehinggalah sekarang, saya tidak pernah merasakan bahawa saya adalah orang Melaka. Darah utara saya sangat pekat.

Ini adalah kerana saya dibesarkan di sebuah kampung di utara Perak. Abah membawa saya dan mak pulang dan berpindah kekal di kampung abah di utara Perak ketika saya masih bayi. Kampung ini merupakan satu kampung yang pada ketika itu agak terpencil. Saya pernah merasai pengalaman hidup tanpa bekalan air dan elektrik di situ. Pengalaman menggunakan lampu gasolin bagi menerangi gelap malam, mandi dan mencuci pakaian di sungai adalah satu fasa kehidupan yang telah saya rasai ketika zaman kanak-kanak dahulu. Saya bukan datang dari keluarga yang senang dari segi kewangan dan material.

Kehidupan di kampung bagi saya ketika itu sangat menyeronokkan. Mungkin kerana ketidakmatangan dan kedangkala horizon  pemikiran seorang kanak-kanak, menyebabkan saya tidak terperasan himpitan hidup kami sekeluarga yang miskin dan serba kekurangan. Apa yang saya ingat adalah memori berkawan-kawan dengan rakan-rakan sekampung.

Memori mandi-manda di sungai, bermain biji getah kering di ladang getah, memanjat pokok, bermain pondok-pondok dan masak-masak, bermain aci ligan dan segala permainan tradisional yang telah saya dan kawan-kawan terokai. Memori bermain tangkap belalang, kumbang kecil seperti ladybird, menangkap kunang-kunang di malam hari adalah antara memori yang terpahat di hati saya apabila saya terkenangkan kehidupan di kampung.

Ianya satu zaman yang sangat menggembirakan, kerana saya tidak pernah terfikirkan sebarang masalah atau perkara-perkara yang membelenggu akal fikiran walaupun saya ketika itu sedar bahawa saya datang dari keluarga yang miskin dan tidak mampu memiliki serba serbi hatta sebuah peti televisyen, apatah lagi sebuah peti ais. Seterika elektrik pun tidak kami punyai untuk digunakan bagi membuang kedutan di pakaian sekolah. Bagi saya, itu bukan hal yang besar sama sekali.

Saya dan adik-adik terpaksa menumpang rumah jiran-jiran untuk menonton televisyen sehingga adakalanya disuruh pulang oleh jiran memandangkan terlalu lama melepak di rumah mereka. 

Walaupun emak dan abah melarang saya dan adik-adik daripada bertandang ke rumah jiran untuk menonton tv, namun, semangat kanak-kanak yang teruja dan sangat mahu menonton kartun dan rancangan adiwira Jepun yang sangat popular pada masa itu seperti Gaban dan Satria Waja Hitam, menyebabkan kami adik beradik tekad menumpang rumah jiran-jiran untuk menonton tv, membuang rasa malu dan segan kepada jiran tetangga, entahkan merimaskan mereka sahaja gelagat kami, tidak kami endah.

Walaupun kehidupan bekeluarga yang sangat daif dari segi ekonomi dan material, saya ditakdirkan Tuhan menjadi champion dari segi akademik di sekolah rendah. Saya mula membaca ketika umur lima tahun, satu kemahiran yang jarang-jarang dimiliki ketika awal 80an di dalam sebuah kampung terpencil.

Dengan izin Tuhan, melalui inisiatif emak menggunakan kotak-kotak kertas yang digunapakai, emak menggunakan kreativitinya untuk membuat alat bantu mengajar khas dalam keadaan serba kekurangan untuk mengajar saya membaca. Kami tiada kemampuan untuk membeli peralatan atau bahan pengajaran, namun, emaklah yang berusaha dalam memastikan saya pandai membaca di usia 5 tahun.

Dan seawal lima tahun, saya menghiburkan hati sendiri dengan segala jenis bahan bacaan yang berada di rumah saya dan rumah tokwan yang terletak berhampiran rumah kami. Habis segala jenis suratkhabar lama, majalah lama saya belek dan baca. Hidup tanpa TV menjadikan saya tercari-cari jalan untuk bermain dan menghiburkan jiwa kanak-kanak yang fitrahnya sentiasa mahu bergembira. Maka, selain daripada bermain dengan kawan-kawan sekampung di sungai dan di sebalik rimbunan pokok, bahan bacaan merupakan satu hiburan yang paling saya sukai.

Kasih-sayang dan perhatian yang saya perolehi daripada ahli keluarga juga melimpah ruah. Rumah kami yang hanya bersebelahan dengan rumah tokwan menjadikan saya kerap ke rumah tokwan dan bermanja dengan tokwan, opah dan ibu-ibu saudara saya. Saya memang rapat dengan kedua-dua ibu saudara saya yang merupakan adik kepada abah. Selain mak dan abah, tokwan, opah dan ibu-ibu saudara merupakan figura dewasa yang penting yang mencorakkan pemikiran dan world-view saya.

Ketika darjah 1 sehinggalah darjah 4, saya sentiasa mendapat top 4. Kemudian, ketika darjah lima saya terpilih untuk memasuki sekolah rendah berasrama khas untuk pelajar cemerlang akademik di daerah tempat tinggal kami di mana pelajar-pelajar darjah lima dan enam dimasukkan ke kelas khas di satu sekolah di Batu Kurau.

Saya begitu teruja untuk masuk asrama walaupun diri baru darjah lima. Saya telah lama berangan untuk memiliki katil sendiri, almari baju sendiri, beberapa keinginan meluap seorang kanak-kanak yang tidak pernah merasai pengalaman mempunyai katil dan bilik tidur sendiri atau almari baju sendiri oleh kerana kemiskinan hidup. Maka, peluang tinggal di asrama sangat mengujakan!



No comments:

Post a Comment

BAB 5 : Artikel 10

...